Pada tahun 2023, aku dan keluarga menyertai satu program yang cukup menarik—BASF Fun Run 2023. Program ini adalah antara acara tahunan tempat kerja aku, yang kali ini berlangsung di Bukit Cerakah, Shah Alam. Dengan suasana pagi yang segar dan penuh semangat, acara pada hari Sabtu itu bermula jam 7 pagi dan berakhir sekitar jam 1 petang.
Seawal pagi, lebih seribu peserta yang terdiri daripada staf BASF Malaysia dan BASF Petronas Chemical berkumpul di Bukit Cerkah. Suasana riuh-rendah, penuh gelak tawa dan wajah-wajah ceria. Tepat jam 8.30 pagi, kami memulakan sesi senam aerobik. Aku sendiri yang jarang-jarang bersenam, cuba juga mengikuti rentak muzik dan arahan jurulatih. Sungguh menghiburkan melihat semua orang, dari yang serius bersenam hingga yang hanya bergoyang-goyang santai.
Jam 9 pagi, acara utama fun run pun bermula. Namanya pun "fun run" kan, jadi tiada tekanan untuk berlari sepantas kilat. Ada yang begitu bersemangat, memecut ke depan seperti pelari profesional. Ada juga yang mengambil pendekatan santai cuma berjalan bersama keluarga sambil berbual dan menikmati suasana hijau Bukit Cerakah. Aku? Aku memilih konsep "melenggang kangkung", berjalan perlahan bersama isteri dan anak-anak, menikmati keindahan alam sambil berbual mesra dengan rakan-rakan.
Selepas acara larian tamat, tibalah saat yang dinanti-nanti ramai peserta iaitu cabutan bertuah. Hadiah yang disediakan memang menarik, dari peralatan elektronik hingga baucar percutian. Malangnya, nasib tidak menyebelahi aku kali ini. Tapi tidak mengapa. Itu semua rezeki kan. Kita redha je.
Sekitar jam 1 petang, program pun selesai. Namun, hari kami di Shah Alam belum berakhir. Kami terus check-in di Hotel Mardiah yang terletak di tengah bandar. Anak-anak seperti biasa, mula merengek minta mandi kolam renang. Aku dan isteri yang juga seronok melayan gelagat mereka, mengikut saja. Selepas puas berenang, malam itu kami mengambil peluang untuk menjelajah sekitar Shah Alam.
Memandangkan aku pernah belajar di UiTM Shah Alam, aku rasa nostalgia. Aku bawa isteri dan anak-anak ke kampus untuk berkongsi kenangan masa muda. Dari bangunan fakulti, kafe-kafe lama, hingga tempat aku selalu lepak belajar, semuanya menjadi cerita menarik untuk anak-anak.
Selepas puas bernostalgia, kami kembali ke hotel untuk berehat. Keesokan paginya, sebelum check-out, anak-anak sempat lagi bermain di kolam renang. Selepas itu, kami berangkat pulang ke Kuantan. Dalam perjalanan, kami singgah di beberapa R&R untuk membeli buah tangan seperti kuih-muih dan keropok untuk jiran-jiran dan kawan-kawan di kawasan rumah.
Perjalanan pulang itu penuh dengan gelak tawa dan perasaan seronok. BASF Fun Run 2023 bukan sahaja menjadi acara sukan, tetapi juga satu pengalaman yang mengeratkan hubungan keluarga dan mengimbau memori lama. Memang seronok! Tak sabar menantikan acara yang seterusnya.
Enjoy...!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan