Pelepasan Cukai 2024: Panduan Mudah untuk E-Filing

Pelepasan Cukai 2024: Panduan Mudah untuk E-Filing

Hai semua! Masuk tahun baru ni, satu perkara yang dah jadi rutin tahunan aku adalah semak semula resit-resit pembelian dan dokumen-dokumen berkaitan untuk pelepasan cukai e-filing. Sebagai pekerja yang dah lama menggunakan sistem ni, aku nak kongsi dengan korang info pelepasan cukai bagi tahun 2024 yang boleh membantu kurangkan beban cukai korang.

Ada 5 kategori utama pelepasan cukai yang boleh korang claim tahun ni:

  1. Individual Relief

    • Contohnya: Pelepasan untuk pasangan (RM4,000), tanggungan anak kurang upaya (RM8,000), dan yuran pendidikan sendiri (RM7,000).
  2. Insurance & Contributions

    • Seperti caruman KWSP & insurans hayat (RM7,000) dan deposit SSPN (RM8,000).
  3. Lifestyle

    • Pelepasan sehingga RM2,500 untuk pembelian peranti elektronik, langganan internet, dan bahan bacaan.
    • Tambahan RM2,500 lagi untuk pemasangan fasiliti pengecasan kenderaan elektrik.
  4. Medical & Special Needs

    • Pelepasan RM10,000 untuk kos rawatan penyakit serius atau vaksinasi.
    • Jangan lupa pelepasan RM8,000 untuk kos penjagaan ibu bapa.
  5. Child Relief

    • Tanggungan anak juga penting! Contohnya, anak bawah 18 tahun (RM2,000) atau anak di institusi pengajian tinggi (RM8,000).

Kenapa E-Filing Penting?

Dulu aku sendiri skeptikal dengan e-filing. Rasa macam kerajaan nak ambil duit kita je, kan? Tapi sebenarnya, e-filing adalah cara sistematik untuk kira sama ada kita perlu bayar cukai tambahan atau layak dapat pulangan cukai (refund). Setiap tahun aku submit e-filing, memang boleh claim semula potongan cukai PCB daripada gaji bulanan. Kita gaji kecik waaakkk. Hikhikhik

Tips Untuk Persediaan E-Filing 2024
  1. Kumpul semua resit dan dokumen penting (contohnya resit SSPN, bil internet, yuran pendidikan).
  2. Buat checklist berdasarkan kategori pelepasan cukai di atas.
  3. Jangan tunggu saat akhir—siapkan e-filing awal, paling lewat bulan Mac atau April.

Mari Sama-Sama Buat E-Filing!

Tak kira korang dah biasa buat e-filing atau baru nak mula tahun ni, manfaatkan pelepasan cukai untuk kurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar. Jangan lupa, setiap ringgit pelepasan cukai adalah peluang untuk berjimat. Selamat mencuba!

#PelepasanCukai2024 #EFilingTips #LHDNMalaysia

Enjoy...!!!

Nostalgia Susu Pekat Manis Cap Junjung: Dari Kampung ke Shopee

Nostalgia Susu Pekat Manis Cap Junjung: Dari Kampung ke Shopee

Kadang-kadang, benda kecil dalam hidup boleh mencetuskan memori besar. Baru-baru ni, aku ternampak produk lama yang tak disangka-sangka masih ada kat pasaran—susu pekat manis Cap Junjung. Serius, benda ni buat aku tersenyum sendiri, sebab ia terus mengingatkan aku pada zaman kanak-kanak di kampung, lebih 20 tahun lepas.

Masa tu, kehidupan kat kampung memang simple. Aku masih kecil, dan kalau balik rumah nenek, mesti ada satu ritual yang tak pernah missed—pak cik aku akan beli susu pekat Cap Junjung. Aku tak pasti kenapa dia loyal sangat dengan jenama ni, sebab masa tu susu F&N memang dah ada nama besar. Tapi Cap Junjung tetap pilihan nombor satu dia. Kadang-kadang aku rasa mungkin sebab dia suka gambar kat packagingnya—seorang wanita menjunjung susu. Simbol yang cukup literal tapi “on point”! Budak-budak kampung macam aku pun senang faham.

Kenangan Manis dengan Cap Junjung

Kalau nak ikut cerita nostalgia, susu Cap Junjung ni memang ikon minuman waktu pagi. Pak cik aku biasanya bancuh secawan kopi ‘kaw’ dengan susu ni, sambil cicah roti benggali atau biskut lemak. Tak kira betapa manisnya, dia kata, “Kalau tak rasa macam nak lekat gigi, itu bukan kopi yang betul.”

Yang paling best, Cap Junjung ni bukan sekadar untuk minuman. Nenek aku selalu guna untuk buat kuih tradisional macam kuih talam atau pengat pisang. Bila siap, kuih tu rasa lemak-lemak manis yang cukup memikat. Aku rasa, itulah rahsia kenapa kuih nenek aku sentiasa laku keras masa kenduri.

Dari Kampung ke Shopee

Fast forward ke zaman sekarang, aku fikir susu Cap Junjung dah lama lenyap. Tapi bila aku terjumpa produk ni dijual kat Shopee, terus rasa nostalgia tu datang semula. Aku kagum sebab jenama ni masih bertahan walaupun dah berdekad-dekad. Bayangkan, dari rak kedai runcit kampung hingga ke platform e-dagang moden, Cap Junjung tetap ada peminatnya.

Mungkin sebab packaging dia yang tak pernah berubah—ikon perempuan menjunjung susu tu tetap ada, seolah-olah dia juga “berjuang” bersama produk ni untuk terus relevan. Sesuatu yang tak boleh dipandang enteng, terutama dalam dunia persaingan jenama besar macam F&N.

Kalau Nak Cuba...

Kalau korang tak pernah cuba susu pekat manis Cap Junjung ni, aku sarankan korang try sekali. Ada sesuatu yang klasik dan unik tentang rasanya. Kalau malas nak cari kat kedai, korang boleh terus cari kat Shopee. Search je “susu Cap Junjung”, dan siap—boleh dapat nostalgia dalam bentuk tin!

Selamat mencuba dan semoga memori lama juga turut kembali menjenguk! Happy shopping dan jangan lupa, jangan terlalu banyak letak dalam kopi—manis dia boleh buat senyuman jadi lebih manis!

Enjoy...!!!

Salam 1 Rejab dan 1 Januari: Momen Istimewa untuk Bermuhasabah Diri

Salam 1 Rejab dan 1 Januari: Momen Istimewa untuk Bermuhasabah Diri

Assalamualaikum buat semua pembaca setia blog aku! Hari ini, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam 1 Rejab kepada kalian semua. Subhanallah, begitu cepat masa berlalu, dan kini kita sudah melangkah ke bulan Rejab, salah satu bulan yang penuh keberkatan dalam Islam. Lebih istimewa lagi, 1 Rejab tahun ini jatuh serentak dengan 1 Januari, permulaan tahun baharu. Dan tak lama lagi kita akan tiba di bulan Ramadhan.


Hari ini mungkin ramai yang bercuti, sama ada untuk menyambut tahun baharu atau sekadar berehat bersama keluarga. Tapi, apa kata kita ambil sedikit masa untuk muhasabah diri? Bulan Rejab ialah bulan yang istimewa kerana ia membuka pintu menuju Ramadan. Jadi, inilah masanya untuk mula memperbaiki diri, meningkatkan amalan, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kata orang, permulaan yang baik membawa keberkatan. Jadi, sempena 1 Rejab dan 1 Januari ini, mari kita sama-sama perbaiki niat, tambah ibadah, dan bersyukur atas nikmat yang Allah berikan kepada kita. Tak perlu tunggu sehingga Ramadan untuk memulakan perubahan; hari ini pun sudah cukup sempurna.

Baca juga - Diam-diam Dah Nak Masuk Tahun Baru 2025!

Aku doakan agar kita semua terus diberi kekuatan untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Semoga setiap usaha kecil kita diberkati dan diterima oleh Allah SWT. InshaAllah, tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik buat kita semua, dari segi iman, amal, dan kehidupan secara keseluruhannya.

Akhir kata, jangan lupa ambil sedikit masa untuk bermuhasabah hari ini. Selamat menyambut 1 Rejab dan Selamat Tahun Baharu 1 Januari! 🌸

Terima kasih kerana terus menyokong blog aku. Jumpa lagi di entri seterusnya! 😊

Enjoy...!!!

Santai di Ana Ikan Bakar Petai Tanjung Lumpur, Kuantan

Santai di Ana Ikan Bakar Petai Tanjung Lumpur, Kuantan

Kadang-kadang, bila datang rasa malas masak, makan kat luar jadi pilihan terbaik. Baru-baru ni, aku dan keluarga buat keputusan nak makan malam kat Ana Ikan Bakar Petai yang terletak di Tanjung Lumpur, Kuantan. Kalau korang orang Kuantan atau pernah ke sini, mesti tahu tempat ni popular dengan makanan laut segar yang lazat.

Sebagai penduduk Kuantan selama 12 tahun, Ana Ikan Bakar Petai ni memang antara tempat makan yang aku kerap pergi. Kalau family aku dari Johor datang melawat, tempat ni mesti masuk dalam senarai restoran yang aku cadangkan. Masakan dia sesuai dengan tekak kami, dan setiap kali makan kat sini, memang puas hati.

Menu Wajib Kami

Setiap kali datang, ada beberapa menu yang memang tak pernah kami skip. Ikan siakap bakar petai jadi menu wajib nombor satu. Paduan rasa pedas, manis, dan aroma petai memang padu! Selain tu, ada juga:

  • Ketam telur masin – lemak, berkrim, dan penuh rasa.
  • Sotong celup tepung – rangup di luar, lembut di dalam.
  • Kailan ikan masin – pelengkap hidangan yang seimbang.
  • Kadang-kadang, kami tambah lala masak sambal untuk variasi.


Setiap hidangan di sini memang sesuai untuk makan ramai-ramai.

Fasiliti yang Lengkap

Satu lagi sebab kenapa aku suka makan kat sini ialah fasiliti dia yang lengkap. Ada tandas dan surau yang selesa, jadi tak perlu risau kalau datang waktu maghrib. Bagi yang datang dengan anak kecil, ada juga taman permainan yang buat anak-anak seronok sambil kita makan dengan tenang.

Baca juga - Kuantan: Destinasi Wajib Singgah dengan Pelbagai Tempat Menarik

Tips & Lokasi

Ana Ikan Bakar Petai ni terletak di kawasan Tanjung Lumpur, tak jauh dari bandar Kuantan. Kalau datang waktu puncak, terutama hujung minggu atau cuti sekolah, mungkin kena bersabar sikit sebab ramai orang. Tapi percayalah, makanan dia memang berbaloi dengan masa menunggu.

Baca juga - Makan Steamboat Buffet Dinner in the Sky di Menara Kuantan 188 - Priceless Moment

Jadi, kalau korang datang Kuantan dan nak cari tempat makan seafood yang sedap dan santai, aku sangat cadangkan Ana Ikan Bakar Petai. Rasa makanan dia memang tak pernah mengecewakan, sesuai untuk semua peringkat umur. Jangan lupa order menu wajib aku ya! 😄

Selamat menjamu selera!

Enjoy...!!!

Kuantan: Destinasi Wajib Singgah dengan Pelbagai Tempat Menarik

Kuantan: Destinasi Wajib Singgah dengan Pelbagai Tempat Menarik

Hai semua! aku dah duduk di Kuantan selama 12 tahun. Sepanjang masa ni, aku dah banyak explore tempat-tempat best kat sini. Jadi, kalau korang nak bercuti ke Kuantan, meh aku share beberapa lokasi menarik yang wajib korang lawati.

1. Teluk Cempedak: Pantai Ikonik Kuantan

Teluk Cempedak (TC) ni memang lokasi wajib kalau korang ke Kuantan. Pantai ni tak pernah mengecewakan dengan pasir putihnya, angin laut yang nyaman, dan deretan kafe tepi pantai. Malam-malam lagi meriah, ada gerai makanan dan buskers yang menghiburkan. Kalau korang suka lepak sambil dengar bunyi ombak, TC ni perfect!

2. Cherating: Pantai yang Tenang dengan Aktiviti Menarik

Cherating pula terkenal dengan suasana tenang dan pelbagai aktiviti. Nak luncur air? Boleh. Nak tengok penyu bertelur? Pun boleh! Cherating ni juga rumah kepada pusat kraftangan dan batik yang korang boleh lawati untuk beli cenderamata.

3. Sungai Lembing: Pekan Warisan yang Bersejarah

Pekan kecil ni memang penuh sejarah! Kat sini ada Muzium Sungai Lembing yang cerita pasal sejarah perlombongan bijih timah. Kalau korang suka adventure, cuba jejak masuk ke terowong lombong lama. Tambahan lagi, jangan lupa cuba cendol Sungai Lembing – memang legend!

Baca juga - Pengalaman Makan Shell Out di Touch Craving Shell Out (TCSO), Jalan Stadium Kuantan: Rasa dan Kenangan Bersama Keluarga

4. Air Terjun Sungai Pandan: Keindahan Semula Jadi

Ni antara tempat feveret aku! Air Terjun Sungai Pandan memang cantik dengan aliran air yang jernih dan kawasan mandi-manda yang luas. Bawak keluarga berkelah kat sini, confirm seronok. Tapi jangan lupa bawa tikar dan makanan, ya!

5. Bukit Panorama: Syurga Pencinta Matahari Terbit

Kalau korang jenis suka hiking, Bukit Panorama ni wajib try. Bangun awal pagi, panjat bukit ni, dan korang akan dapat tengok pemandangan matahari terbit yang memukau. Penat mendaki hilang terus bila sampai puncak. Jangan lupa bawak air sebab trek dia boleh tahan mencabar.

6. Air Terjun Pelangi: Keajaiban Alam yang Menakjubkan

Air Terjun Pelangi ni memang luar biasa. Korang kena datang waktu pagi untuk nampak pelangi yang terbentuk dari percikan air terjun. Perjalanan ke sini mungkin memakan masa sikit, tapi percayalah, ia sangat berbaloi!

7. Menara Kuantan 188: Ikon Baru Kuantan

Menara Kuantan 188 merupakan salah satu mercu tanda baru di Kuantan. Menara ini berdiri megah dengan ketinggian 188 meter, menjadikannya menara kedua tertinggi di Malaysia. Dari dek pemerhati, anda boleh menikmati pemandangan panorama bandar Kuantan, Sungai Kuantan, dan Laut China Selatan. Pada waktu malam, menara ini diterangi dengan lampu berwarna-warni yang menambahkan keindahan kawasan sekitar. Jangan lupa cuba restoran di atas menara untuk pengalaman makan sambil menikmati pemandangan!

Baca jugas - Makan Steamboat Buffet Dinner in the Sky di Menara Kuantan 188 - Priceless Moment

Kuantan ni sebenarnya ada banyak lagi tempat menarik. Setiap kali aku explore, mesti ada benda baru yang aku jumpa. Kalau korang datang sini, jangan malu-malu tanya penduduk tempatan. Kami orang Kuantan memang suka recommend tempat-tempat best!

Selama 12 tahun duduk di Kuantan, aku rasa bertuah dapat menikmati keindahan dan keunikan tempat ni. Jadi, kalau korang plan nak bercuti ke Kuantan, jangan lupa singgah lokasi-lokasi ni. Percutian korang confirm takkan mengecewakan!

Apa tempat kegemaran korang di Kuantan? Share dengan aku kat komen! 😊

Enjoy...!!!

 Reset Rumah, Reset Jiwa: Kemas Rumah dengan Anak-anak

Reset Rumah, Reset Jiwa: Kemas Rumah dengan Anak-anak

Ada satu perkara yang aku percaya, rumah yang kemas bukan sahaja sedap mata memandang, tapi juga beri ketenangan hati. Jadi, bila keadaan rumah mula berselerak dengan mainan, habuk halus di sudut, dan meja yang penuh dengan barangan entah dari mana, sudah tiba masanya untuk sesi "reset rumah".

Kali ini, aku ajak anak-anak aku si Husna dan Imtiyaz untuk sama-sama mengemas. Aku suka libatkan libatkan diorang dalam aktiviti ini sebab kita boleh arah-arah. hahahah. Bukan hanya untuk meringankan kerja tetapi juga untuk mengajar mereka tanggungjawab menjaga ruang yang kita kongsi bersama.

Kita mulakan dengan tugas yang paling mudah iaitu mengemas main table. Meja ini umpama "zon bebas" bagi anak-anak. Itulah tempat makan, buat kerja sekolah, tempat aku bukak laptop dan macam-macam lagi, jadi macam-macam benda boleh muncul di situ. Alat tulis, lego, dan berbagai lagi.

Tak sampai 10 minit, meja itu kembali bersih, seperti baru keluar dari katalog IKEA. Kitorang tersenyum bangga melihat hasil kerja masing-masing.


Seterusnya, giliran menyapu. Anak aku Husna bab menyapu ni die macam boleh harap sikit. Jadi, si kakak Imtiyaz aku suruh pungut-barang-barang yang berteraburan atas lantai. Aku pula tolong menyapu di sudut-sudut yang sukar dijangkau. Dalam 15 minit, setel semua runag kat rumah aku ni. Alhamdulillah. 

Bila semua dah siap, kami bertiga berdiri di tengah ruang tamu, menghela nafas puas hati sambil pandang sekeliling. Rumah terasa lebih segar, lebih lapang, dan lebih sedap mata memandang.

Kadang-kadang, sesi reset rumah macam ni bukan sahaja tentang mengemas ruang, tetapi juga tentang menyusun semula tenaga dan mood kami sekeluarga. Rumah kemas, hati pun rasa lapang. Alhamdulillah, misi hari ini tercapai!

Enjoy...!!!

Kuantan: Hujan Tanpa Henti dah 2 hari

Kuantan: Hujan Tanpa Henti dah 2 hari

Kalau nak tahu, hari ini dah masuk hari kedua hujan tanpa henti kat area rumah aku di Kuantan, Pahang. Rasanya macam semua benda kat luar dah basah lencun, dan bau tanah lembap semakin kuat menusuk ke hidung. Sambil duduk kat ruang tamu, aku tengok hujan yang tak menunjukkan tanda-tanda nak berhenti. Dalam hati, aku cuma mampu berdoa, “Ya Allah, janganlah banjir kali ni.”

Tadi aku sempat buka laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). Rupanya beberapa daerah di Terengganu dan Pahang memang tengah dalam amaran hujan berterusan tahap waspada, bermula hari ni sampai 31 Disember 2024. Jadi, tak hairanlah kalau hujan macam ni berlarutan. Tapi buat masa ni, keadaan banjir kat Pahang masih lagi terkawal. Setakat jam 6:30 petang ni, Alhamdulillah, tiada laporan kawasan yang dinaiki air lagi.

Cuma, bila aku baca berita tentang Kelantan, hati jadi berat sikit. Daerah Kuala Krai dan Tanah Merah dah mula dinaiki air. Memang rasa sedih bila fikirkan keluarga-keluarga yang mungkin tengah sibuk pindahkan barang dan bersiap-sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan. Semoga mereka semua tabah dan dilindungi dari musibah yang lebih teruk.

Melayan perasaan

Korang boleh klik link ni untuk update terkini keadaan semasa hujan atau banjir.

LAMAN WEB RASMI PUBLIC INFOBANJIR

Nota: Kalau ada pembaca yang tinggal di kawasan berisiko, tolonglah jangan ambil mudah. Sentiasa pantau maklumat terkini daripada pihak berkuasa dan bersedia untuk berpindah kalau perlu. Jangan lupa utamakan keselamatan, ya!

Enjoy...!!!

Diam-diam Dah Nak Masuk Tahun Baru 2025!

Diam-diam Dah Nak Masuk Tahun Baru 2025!

Hai korang, tak sedar kan? Diam-diam, kita dah nak masuk tahun baru 2025! Macam baru semalam je rasanya kita sambut tahun baru 2024, sekarang dah nak habis pun. Lagi beberapa hari je, kita akan melangkah ke tahun yang baru, dan yang lebih mengejutkan lagi, umur aku pun makin bertambah. Hahaha, tak sangka kan? Tahun depan aku dah masuk 37 tahun! Wah, rasa macam baru semalam je 30-an, sekarang dah dekat 40! Kalau pikir balik, macam-macam dah terjadi dalam hidup aku ni.

Kalau bercakap pasal kerja, alhamdulillah, tahun depan dah masuk 12 tahun aku bekerja di tempat yang sama. Tapi jangan salah faham, walaupun tempat yang sama, posisi aku selalu berubah-ubah. Dulu, aku start sebagai lab technician. Tak lama lepas tu, kena masuk shift, pastu balik ke normal balik. Banyak sangat warna-warni dalam dunia pekerjaan aku ni. Ada yang kelakar, ada yang sedih, dan ada juga yang menggembirakan. Kadang-kadang teringat balik semua pengalaman tu, rasa macam banyak benda yang aku belajar. Ada masa rasa nak give up, tapi alhamdulillah, aku masih bertahan sampai sekarang.

Tahun ni pulak, dah 2 tahun aku jadi chemist. Mula-mula masuk, rasa macam tak percaya je, tapi lama-lama rasa seronok juga. Ada cabaran, ada dugaan, tapi aku cuba buat yang terbaik. Dalam dunia kerja ni, tak ada yang mudah kan? Ada hari-hari yang rasa macam nak berhenti, tapi bila fikir balik, semua tu adalah proses. Kita belajar, kita berkembang. Aku percaya kalau kita buat yang terbaik, InsyaAllah, hasilnya pun akan terbaik.

Baca juga - Pengalaman Jadi Bendahari Masjid: Antara Amanah, Cabaran, dan Pembelajaran

Tapi, cukup-cukuplah cerita pasal kerja. Tahun baru, mesti kena ada azam baru! Kalau azam tahun lepas tu tak tercapai, jangan risau, boleh carry forward je ke tahun depan. Hehehe. Untuk aku, azam tahun depan, aku nak buat yang terbaik dalam pekerjaan aku. Nak terus belajar, terus berkembang, dan pastikan aku tak mudah putus asa. Selain tu, harap tahun depan lebih banyak peluang dan rezeki yang datang. Semoga segala usaha dan kerja keras kita diberkati, InsyaAllah.

So, korang macam mana? Azam tahun ni dah settle ke belum? Atau nak carry forward je untuk tahun depan? Hahaha. Jangan lupa, tahun baru ni, kita semua ada peluang untuk mulakan sesuatu yang baru, jadi jangan sia-siakan. Semoga tahun 2025 nanti penuh dengan kegembiraan, kejayaan, dan keberkatan untuk kita semua.

Selamat tinggal 2024, dan selamat datang 2025! Let's make it a great one! 🎉

Enjoy...!!!

Weekend with Family: Lepak Wakaka TMG lepas Shopping

Weekend with Family: Lepak Wakaka TMG lepas Shopping

Hujung minggu memang masa yang paling dinantikan oleh kami sekeluarga. Biasanya, aktiviti utama kitorang hangout sama-sama, pusing-pusing area Kuantan, beli barang dapur, dan makan-makan. Hari ini pun tak jauh bezanya, cuma lokasi wajib kami iaitu TMG (Tunas Manja) tetap jadi destinasi utama.

TMG ni memang boleh kata bersepah dekat Kuantan. Pilihan pun banyak, senang nak dapat apa yang diperlukan. Jadi, lepas kitorang setel pusing-pusing cari barang dapur (dan pastikan semua keperluan lengkap), barulah boleh tenang untuk rehat sekejap.

Lepak kat Wakaka

Habis shopping, kami singgah di Wakaka, lokasi wajib setiap kali penat membeli-belah. Hari ni anak-anak pilih menu kegemaran diorang, wafer coklat dan peanut butter. Kami beli dua je, cukup untuk kongsi-kongsi. Jangan risau, masing-masing dah ada “sistem giliran” supaya tak ada yang merajuk!


Sambil makan, aku sempat belek-belek semula resit belian tadi. Biasalah, kena pastikan tak ada kesilapan harga atau barang tertinggal. Kalau ada apa-apa yang tak kena, bolehlah terus claim kat kaunter TMG tadi sebelum balik.

Menu Sederhana, Kebahagiaan Besar

Lepak kat Wakaka ni memang simple, tapi suasananya cukup santai. Anak-anak seronok dengan wafer diorang. Sementara aku dengan isteri menikmati minuman coklat bubble tea. Orang kata ini baru “alas perut” je. Kitorang memang plan nak makan berat pulak lepas ni.

Baca juga - Pengalaman Makan Shell Out di Touch Craving Shell Out (TCSO), Jalan Stadium Kuantan: Rasa dan Kenangan Bersama Keluarga

Apapun, walaupun nampak macam rutin biasa, masa-masa macam ni yang sebenarnya jadi kenangan indah buat kami sekeluarga. Shopping, makan, lepak—all in one. Lagipun, hujung minggu ni kan untuk “reset” semangat sebelum kembali ke hari-hari sibuk. Apa pulak aktiviti korang weekend ni?

Enjoy...!!!

Lukisan Keluarga Paling Comel: Hadiah Istimewa dari Husna

Lukisan Keluarga Paling Comel: Hadiah Istimewa dari Husna

Hari ini, aku ingin abadikan satu kenangan manis yang dihasilkan oleh anak kedua aku, Husna. Dia melukis satu gambar keluarga kami yang sangat comel dan penuh makna. Dalam lukisan ini, ada aku sebagai ayah, isteri aku sebagai ibu, kakak sulung Imtiyaz, Husna sendiri, dan si bongsu Solehah. Semua anak aku adalah perempuan, dan setiap mereka ada keistimewaan masing-masing, tapi Husna lain macam sikit. Biasa la orang kata anak nombor dua ni Hebat...!!!

Apa yang buat aku tersentuh ialah Husna melukis dirinya sendiri dengan baju yang sama warna dengan aku. Ini seolah-olah menggambarkan betapa rapatnya hubungan kami berdua (padahal aku selalu je marah-marah kat die. Hehehe). Husna memang seorang anak yang suka ikut apa yang aku buat, malah dia sangat admire aku. Kalau ada sesuatu yang aku lakukan, dia akan cuba meniru, bukan kerana terpaksa, tapi kerana dia betul-betul nak jadi seperti aku. Pernah tu aku beli almari yang kene pasang sendiri, die pun sebok nak tolong aku buat sama-sama.

Dan dalam keluarga kami, Husna sering jadi teman setia aku. Kalau kami keluar berjalan atau pergi bercuti, dia mesti nak duduk kat kerusi depan sebelah aku. Kakak dan adiknya selalunya duduk di belakang, tapi Husna, dia sentiasa di depan, menemani aku memandu sambil berbual atau menikmati pemandangan. Sampai la die tertidur. Hihihi

Baca juga - Seronoknya Buat Kek Coklat dengan Anak-anak

Lukisan ini bukan sekadar coretan biasa. Ia penuh dengan makna dan menunjukkan cara Husna melihat kami sebagai sebuah keluarga. Walaupun dia masih kecil, lukisan ini menggambarkan betapa dia memahami keakraban dan kasih sayang yang ada dalam keluarga kami.

Terima kasih, Husna, untuk hadiah yang comel ini. Bila kamu semua dah besar nanti, lukisan ini akan jadi satu kenangan berharga yang akan kita kenang bersama. 😊

Enjoy...!!!

Papaglamz © . Designed by MaisarahSidi.com