Baca juga

3.5.26

Sambutan Raya Lorong 2026 – Open House Satu Lorong, Satu Keluarga

Kalau dah masuk musim Raya, memang banyak tempat akan buat open house. Ada yang buat open house rumah, ada yang buat open house office, tapi kat taman tempat aku tinggal ni, kami ada satu tradisi yang aku rasa cukup menarik. Setiap tahun, warga satu lorong akan pakat-pakat buat sambutan raya lorong. Kiranya macam open house, tapi konsepnya satu lorong sama-sama buat dan sama-sama menjamu tetamu. Kami akan jemput jiran-jiran dari lorong sebelah, para jemaah masjid dan juga rakan-rakan terdekat untuk datang beraya dan makan bersama-sama.

Tuan-tuan rumah lorong 1

Hari kejadian, seawal pagi lagi dah nampak orang keluar masuk. Ada yang bawa bahan mentah, ada yang bawa periuk, ada yang bawa peralatan memasak dan masing-masing mula sibuk dengan tugas sendiri. Untuk tahun ni, yang bestnya, menu-menu utama memang kami masak sendiri. Jadi memang dari pagi dah mula merewang. Ada yang potong bahan, ada yang masak, ada yang kacau lauk dan ada juga yang kerja dia paling penting sekali… test rasa makanan. Hahaha! Walaupun nampak macam kerja biasa-biasa, sebenarnya waktu macam inilah yang paling seronok sebab dapat berkumpul, bersembang dan bergurau dengan jiran-jiran sambil sama-sama siapkan makanan.



Untuk menu-menu lain pula, kami buat secara potluck. Jadi setiap rumah bawa makanan masing-masing. Bila semua dah berkumpul, memang penuh meja dengan macam-macam jenis makanan. Ada lauk, kuih-muih, pencuci mulut, air dan macam-macam lagi. Aku pula macam biasa ambil jalan paling selamat. Aku bawak roti jala yang aku order sahaja. Tak sempat nak masuk dapur pagi-pagi. Hahaha! Tapi kira menyumbang jugalah tu. Yang penting roti jala sampai dan boleh makan.

Bila semua makanan dah siap, tetamu pun mula datang. Jiran-jiran dari lorong sebelah, jemaah masjid dan rakan-rakan terdekat silih berganti datang memeriahkan sambutan. Ada yang datang dengan keluarga, ada yang singgah sekejap untuk beraya dan ada juga yang terus duduk lama sambil bersembang. Suasana memang meriah. Budak-budak pula sibuk bermain, orang dewasa sibuk bersembang sambil menikmati makanan. Begitulah suasana Raya yang kita nak, bukan sekadar datang makan, tetapi dapat berjumpa, bertanya khabar dan mengeratkan lagi hubungan sesama jiran.




Bagi aku, perkara paling best tentang sambutan raya lorong macam ni ialah semangat gotong-royong. Tak kisahlah siapa yang masak, siapa yang bawa makanan, siapa yang datang awal atau siapa yang tolong kemas. Semua ada peranan masing-masing. Yang datang awal tolong siapkan makanan, yang lain bawa juadah, ada yang susun meja, ada yang layan tetamu dan ada yang kemas selepas majlis selesai. Nampak simple, tapi sebenarnya benda-benda macam inilah yang buat hubungan kejiranan jadi lebih rapat.

Kadang-kadang kita tinggal sebelah rumah bertahun-tahun, tapi sebab masing-masing sibuk dengan kerja dan urusan keluarga, tak sempat nak duduk sembang lama-lama. Jadi bila ada acara macam ni, dapatlah kita luangkan masa bersama. Dapat kenal jiran dengan lebih dekat, kenal anak-anak jiran dan pada masa yang sama dapat berkongsi rezeki. Raya jadi lebih bermakna bila kita bukan sahaja meraikannya bersama keluarga, tetapi juga bersama komuniti di sekeliling kita.

Alhamdulillah, selesai sudah satu lagi sambutan raya lorong kami untuk tahun ni. Terima kasih kepada semua jiran-jiran yang sama-sama bertungkus-lumus dari awal pagi sampai majlis selesai. Yang memasak, yang membawa makanan, yang membantu menyediakan tempat, yang melayan tetamu dan yang datang memeriahkan suasana, semuanya memang memainkan peranan masing-masing. Semoga hubungan kejiranan kami terus erat dan semoga Allah SWT melimpahkan rezeki serta memberikan keberkatan kepada semua.

Insya-Allah kalau dipanjangkan umur dan diberikan kesempatan, tahun depan kita buat lagi. Menu apa pula kita nak masak tahun depan, itu belakang kira. Yang pasti, kalau ikut aku… roti jala aku order lagi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Papaglamz © . Designed by MaisarahSidi.com