Aku ternampak satu infografik tentang piramid pendapatan Malaysia ni. Bila tengok sekali imbas memang menarik, tapi bila fikir-fikir balik… agak terasa juga realiti kehidupan sekarang.
Dalam gambar ni, pendapatan individu dibahagikan kepada beberapa tahap, bermula daripada RM0 sampailah lebih RM50,000 sebulan. Yang menariknya, 50% daripada pekerja berada pada pendapatan sekitar RM3,167 dan ke bawah, manakala threshold T20 yang dipaparkan ialah sekitar RM6,800 ke atas.
Tapi bagi aku, perkara yang paling terasa sekarang sebenarnya bukan semata-mata pasal berapa gaji kita, tapi berapa banyak yang tinggal selepas semua benda dibayar. Gaji mungkin nampak semakin besar berbanding beberapa tahun dulu, tapi kos hidup pun makin meningkat. Harga barang dapur, makan di luar, petrol, bil, rumah, pendidikan anak, insurans dan macam-macam lagi semuanya perlahan-lahan makan bahagian daripada pendapatan kita.
Sebab tu kadang-kadang kita tengok seseorang bergaji RM6,000, RM8,000 atau RM10,000 dan rasa macam, "Wah, dah selesa dah tu." Tapi realitinya setiap orang ada komitmen berbeza. Kalau ada rumah, kereta, anak-anak dan macam-macam tanggungan, jumlah tu boleh terasa biasa-biasa sahaja. Lagi tinggi pendapatan pun belum tentu lebih banyak duit yang boleh disimpan.
Infografik ni pun buat aku terfikir, kategori pendapatan ni sebenarnya tak semestinya menggambarkan tahap kehidupan seseorang. Ada orang pendapatan sederhana tapi komitmen rendah dan pandai urus kewangan. Ada pula yang pendapatan tinggi tetapi komitmen pun tinggi.
Apa-apa pun, menarik juga nak tengok kita sebenarnya berada di bahagian mana dalam piramid ni.
Jadi aku nak tanya korang pula… korang sekarang berada dalam kategori yang mana? Tak payah tulis jumlah gaji pun. Bagi nombor kategori je. Aku nak tengok pembaca blog aku ramai kat bahagian mana.
Dan yang lebih penting daripada kategori tu, korang rasa gaji sekarang masih sepadan tak dengan kos hidup yang semakin meningkat?
Sumber infografik: DOSM (Department of Statistics Malaysia), berdasarkan data pekerja formal DOSM 2025 dan Salaries & Wages Survey 2024. Threshold yang dipaparkan dalam infografik adalah anggaran berdasarkan percentile gaji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan