Baca juga

30.7.26

Family Gathering: Penat Sebelum, Seronok Semasa, Penat Lepas Balik

Dah lama rasanya aku tak buat family gathering macam dulu. Bila teringat balik trip family ke Negeri Sembilan, terus rasa macam… eh, bila agaknya nak buat lagi ni?

Kalau bercuti dengan family besar, memang satu benda yang tak boleh lari, iaitu penat!



Penat masa nak plan. Nak cari tarikh yang semua orang boleh. Nak fikir tempat tidur, makan, bajet, aktiviti dan macam-macam lagi. Dulu masa trip ke Negeri Sembilan pun lebih kurang macam tu. Aku siap cerita panjang pasal proses merancang percutian family besar dalam entry ni: Plan Percutian Sempurna untuk Family Besar: Penat Tapi Berbaloi!.


Lagi satu, bila family dah ramai, nak bergerak pun satu hal. Ada yang kena tunggu anak kecil, ada yang nak berhenti makan, ada yang lambat bersiap. Tapi itulah yang menjadikan trip family ni berbeza. Kalau pergi seorang atau dengan family kecil, semuanya boleh ikut kepala sendiri. Bila ramai-ramai, kena banyak bertolak ansur dan tunggu antara satu sama lain.

Tapi bila semua dah berkumpul... Seronok dia lain macam.

Dapat makan ramai-ramai, borak sampai malam, anak-anak bermain sama-sama, ambil gambar, jalan-jalan dan buat benda yang mungkin nampak biasa tapi sebenarnya jadi kenangan. Kadang-kadang bukan tempat yang kita pergi pun yang paling kita ingat. Yang kita ingat ialah gelak tawa, cerita-cerita masa dalam perjalanan dan perangai masing-masing sepanjang trip.

Lepas balik? Penat lagi.....

Kemas barang, basuh baju, anak-anak kembali ke rutin sekolah dan kita pula sambung kerja macam biasa. Badan memang minta sehari dua untuk recover. Tapi bila tengok balik gambar-gambar yang diambil sepanjang perjalanan, tiba-tiba rasa penat tu macam berbaloi pula.

Sebab bila umur makin meningkat, aku rasa family gathering ni bukan lagi sekadar pasal bercuti. Ia lebih kepada mencuri sedikit masa untuk berkumpul dengan orang yang kita sayang. Kita tak tahu sampai bila semua orang masih ada kesempatan, masih sihat dan masih boleh berkumpul macam sekarang.

Jadi sekarang aku dah mula teringat… Bila nak buat family trip lagi ni?

Penat sebelum, seronok semasa, penat selepas. Tapi akhirnya, memori tu yang tinggal.

Enjoy...!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Papaglamz © . Designed by MaisarahSidi.com