7.9.15

Kanser | Kerana Cinta Semangatnya Untuk Hidup Terus Membara

Penderita pesakit kanser, Kerana cinta semangat terus membara untuk hidup, Cancer, Majlis Kanser Malaysia (MAKNA)


Assalamualaikum

Bila berbicara tentang cinta, skopnya sangat luas. Bukan hanya cinta lelaki dan wanita sahaja. Malah ia lebih dari itu. Ada cinta yang di cipta antara ibu dan anak. Dan ada cinta yang tercipta untuk keluarga. Cinta juga mampu menjadikan seseorang itu bersemangat untuk meneruskan hidup sekiranya kita di timpa pelbagai musibah dan dugaan. PapaG terpanggil untuk berkongsi kisah duka yang berakhir dengan suka berkat semangat dari cintanya pada anak-anak membantunya dalam mengharungi hari-harinya sebagai seorang penghidap kanser payudara. 


Riak wajah ceria Norina Aziz, 49, yang lebih mesra disapa Kak Ina berubah muram saat teringatkan kembali detik mengejut apabila disahkan mengidap kanser payudara sekitar bulan September 2009. Ibarat kata pepatah ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ bergenang air mata si ibu tunggal ini menceritakan semula keperitan hidup yang terpaksa ditempuhi seorang diri selepas kematian suami tercinta 14 tahun lalu.

“Dunia gelap gelita, saat itu hanya terpikirkan anak-anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian. Demi mereka saya kuatkan semangat kerana tidak mahu anak melalui pengalaman saya kematian ibu sewaktu masih kecil.
“Kehidupan kami sebelum ini bukan senang hanya bergantung kepada hasil pendapatan memasak di kantin. Namun sekurangnya sihat untuk bekerja tetapi semuanya berubah setelah saya jatuh sakit,” katanya yang berasal dari Bagan Dalam, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Kesan awal, rujuk ke hospital.

Pengalaman pahit ini bermula apabila dia mengesan wujud kelainan pada anggota badannya, apabila terasa ada ketulan kecil seakan-akan biji asing sewaktu ditekan di kawasan bahagian atas payudara sebelah kanannya.
“Bimbang berlaku sesuatu yang buruk saya segera mendapatkan pemeriksaan awal di klinik kesihatan berdekatan sebelum diminta untuk rujuk ke Hospital Seberang Jaya bagi pemeriksaan lanjut.
“Dalam tempoh sebulan lebih macam-macam ujian terpaksa ditempuhi untuk mengesan penyakit. Akhirnya doktor mengesahkan saya mengidap kanser payudara dan diminta menjalani pembedahan kecil.
“Waktu itu pelbagai perasaan berperang dalam diri sedih, bimbang, takut. Dalam kepala asyik teringatkan anak. Syukurlah kakitangan hospital termasuk badan sokongan pesakit kanser, jiran banyak memberi semangat untuk melawan penyakit,” katanya.
Pembedahan kali pertama berjalan seperti dirancang, namun setelah membuat rawatan susulan ternyata saki baki sel-sel kanser masih ada memaksa pembedahan kali kedua membuang keseluruhan payudara kanan terpaksa dilaksanakan pada Januari 2010.

Dugaan demi dugaan, kuatkan semangat untuk pulih.

Selepas selesai pembedahan kali kedua, dia menjalani pelbagai prosedur lain termasuk mencuci luka dan kemoterapi yang ditetapkan untuk memastikan betul-betul bebas daripada kanser berkenaan.
“Selalunya kemoterapi berjalan dalam tempoh enam bulan, namun saya berlangsung hingga setahun lebih berikutan tahap kesihatan diri tidak menentu dan apabila tidak sihat terpaksa menangguh sementara rawatan.
“Bukan mudah untuk menghadapi kesan sampingan sepanjang tempoh menjalani kemoterapi termasuklah rambut gugur, kawasan mulut menjadi kering, hilang selera makan tetapi saya tetap lawan supaya cepat sembuh,” katanya.
Penderitaan yang dialami turut mengajar anak-anaknya supaya berdikari menguruskan diri sendiri walaupun ketiga-tiga mereka adalah lelaki. Anak sulung kini melanjutkan pelajaran di politeknik, kedua di tingkatan lima sebuah sekolah teknik serta ketiga di tingkatan dua.
“Dalam tempoh berkenaan, mereka sendiri masak nasi, baju baju dan kemas rumah. Saya tidak larat untuk bergerak sebaliknya hanya terbaring sahaja. Jika mereka ke sekolah akan ada jiran menghantar makanan ke rumah.
“Walaupun hilang punca pendapatan, namun rezeki Allah tidak putus. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberi bantuan bulanan RM300 untuk anak meneruskan persekolahan mereka,” katanya.
Mendung suram berarak pergi.

Ketabahannya mengharungi ujian berat semata-mata memikirkan masa depan anak-anak akhirnya terbayar apabila ditawarkan bekerja menjadi tukang jahit di bawah pengurusan Badan Sokongan Pesakit Kanser, Hospital Seberang Jaya pada pertengahan 2010.
“Saya terima tawaran itu walaupun tidak mempunyai sebarang asas dalam bidang jahitan sewaktu mula bekerja. Namun berkat tunjuk ajar kakitangan hospital saya mampu menjahit baju kurung, langsir, cadar, barangan kraftangan seperti beg kain, bekas pensil.
“Kehidupan kami sekeluarga kini semakin baik apabila memperoleh pendapatan hasil menjahit kira-kira RM1000 sebulan, saya mampu membeli sebuah motosikal untuk berulang-alik ke hospital serta menanggung keluarga,” katanya.
Biarpun masih bergantung kepada bekalan ubatan untuk tempoh lima tahun selepas pembedahan, dia mengakui hidupnya semakin ceria dan bersemangat untuk terus hidup. Kisah hidupnya tidak terhenti setakat itu sebaliknya dia bersama beberapa rakan senasib Sharifah Maziam Syed Romly,46, dan Faridah Sheni Hussain, 67 seringkali berkongsi pengalaman yang ditempuhi mereka untuk menjadi pembakar semangat kepada pesakit baru melawan kanser.

Aktif sertai aktiviti badan sokongan pesakit kanser.

Penglibatannya dalam badan bukan kerajaan (NGO) badan sokongan pesakit kanser membuka ruang untuk membantu lebih ramai kalangan pesakit yang melalui nasib sama.
“Banyak aktiviti yang dianjurkan termasuk menjual pelbagai produk kraftangan, makanan, lawatan ke tempat menarik seperti Kelantan dan Pulau Langkawi. Aktiviti seperti ini menyeronokkan serta mengeratkan hubungan pesakit dengan kakitangan hospital.
“Melalui badan ini juga, bekas pesakit turut berpeluang memberi sokongan berterusan kepada pesakit baru melalui sesi kaunseling, bimbingan dari segi mengurusan emosi, pemakanan dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut menasihatkan golongan wanita di luar sana supaya segera mendapatkan rawatan awal dengan berjumpa doktor sebelum terlambat kerana kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengancam nyawa.

Di petik dari : Sumber

Begitulah dapat dilihat betapa ketabahan sesorang wanita yang kehilangan suami dan pada masa yang sama disakan menghidapi penyakit kanser. Namun demi anak-anak dan keluarga, beliau terus tabah dan bersemangat untuk meneruskan hidup ini. PapaG doakan semoga Puan Norina terus cekal dan terus bersemangat serta diberi kesembuhan yang terbaik. Insyallah

With Love
Papaglamz

-sekian-

5 ulasan:

  1. Singgah pagi isnin...
    semoga terus cekal dalam menempuh perjalanan hidup di masa hadapan..Amin...

    BalasPadam
  2. setiap manusia punya masalah berbeza.semoga kita terus cekal menghadapinya tanpa terus menyerah kalah.

    BalasPadam
  3. assalamualaikum
    singgah pagi

    BalasPadam

Papaglamz © . Designed by MaisarahSidi.com