Selamat menyambut hari bumi 2015
Assalamualaikum
Tanggal 22 April setiap tahun pastinya umat dimuka bumi ini menyambut HARI BUMI. Pada tahun ini, sambutan hari bumi telah masuk kali yang ke 45. Pertama kali ia disambut pada 22 April 1970. Matlamat utama sambutan hari bumi ialah untuk meningkatkan kesedaran penduduk dunia tentang kepentingan memelihara keindahan alam sekitar demi memastikan kelangsungan hidup dimuka bumi.
![]() |
Pada tahun 2015, sambutan hari bumi disambut dengan tema "It's Our Turn To Lead" (Masa Untuk Kita Memimpin) membawa maksud yang sangat dekat dengan kita sebagai manusia yang diciptakan Allah. Penciptaan manusia itu sendiri bertujuan untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin yang seharusnya bijak dalam mencatur perancangan agar bumi kekal indah dan terpelihara.
Bumi kian merana. Sedarkah kita perubahan iklim dunia pastinya memberi impak yang negatif kepada kehidupan bukan sahaja manusia tetapi meliputi flora dan faunanya sekali. Namun, sedarkah kita perubahan iklim dunia adalah hasil daripada kerosakan-kerosakan yang dilakukan oleh tangan manusia. Allah dalam firmannya,
"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia. Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang benar. Katakanlah wahai Muhammad, bepergianlah di bumi lalu lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang terdahulu. Kebanyakan mereka adalah orang-orang yang mempersekutukan Allah" (Ar-rum : 41-42)
Nah, sangat jelas menunjukkan bahawa kerosakan-kerosakan di muka bumi adalah hasil daripada perbuatan manusia sendiri. Ternyata banyak tingkahlaku manusia di muka bumi yang dikatakan rakus menjalankan perniagaan dan pembangunan tanpa mengambil kira kesan-kesan terhadap kestabilan alam sekitar.
Seharusnya sudah tiba masanya kita bertanya pada diri sendiri apakah yang telah kita lakukan pada bumi ini. Adakah kita mengikut ajaran agama kita yang suci? Ataupun, adakah kita meninggalkan terus saranan serta suruhan dari agama secara total dalam memelihara alam sekitar? Tepuk dada tanya iman.
Ayuh, jadikanlah tema MASA UNTUK KITA MEMIMPIN sebagai satu dorongan untuk kita memulakan langkah sebagai pemimpin bagi membanteras kerakusan tangan-tangan manusia yang tamak dalam mengejar kekayaan dunia. Walaupun ia agak terlambat, tetapi lebih baik kita mulakan daripada tidak melakukan apa-apa.
Kalau mahu hidup selesa, hiduplah dengan baik. Jangan lakukan kerosakan kerana kerosakan itu merosakkan diri kita sendiri.
With Love
Papaglamz
-sekian-