Baca juga

16.10.26

iPhone Not Backed Up? Ini Cara Aku Backup iPhone ke Laptop Windows Tanpa Langganan iCloud

Pernah tak korang tengah guna iPhone, tiba-tiba keluar notification “iPhone Not Backed Up” macam dalam gambar ni?

Aku selalu juga dapat notification ni. Setiap kali keluar, teringatlah yang iPhone aku ni dah lama tak buat backup. Bukan tak nak backup, tapi bila tengok pilihan untuk tambah storage iCloud, aku fikir dua tiga kali juga. Nak kena tambah komitmen bulanan lagi. Hahaha!

Notifikasi iPhone Not Backed Up yang mengingatkan pengguna supaya membuat backup iPhone.

Bukanlah tak penting untuk backup telefon. Bayangkan kalau satu hari nanti iPhone rosak, hilang atau tiba-tiba tak boleh digunakan. Gambar keluarga, video anak-anak, mesej dan pelbagai data penting dalam telefon tu boleh jadi susah nak dapatkan semula kalau tak ada salinan.

Jadi, aku fikir satu cara yang lebih sesuai dengan keperluan aku sekarang.

Daripada bergantung sepenuhnya pada iCloud, aku pilih untuk buat manual backup iPhone ke laptop Windows.

Tak perlu langganan iCloud berbayar untuk membuat backup setempat menggunakan komputer. Cuma kena luangkan sedikit masa untuk buat backup secara berkala.

Kenapa Aku Pilih Backup iPhone ke Laptop?

Bagi aku, laptop yang ada di rumah boleh digunakan untuk menyimpan salinan data iPhone. Jadi, daripada membiarkan notification iPhone Not Backed Up tu muncul berulang kali, lebih baik aku buat backup sendiri.

Aku bercadang nak jadikan aktiviti backup ni sebagai rutin. Mungkin setiap bulan, atau sekurang-kurangnya setiap enam bulan sekali jika penggunaan telefon tak banyak berubah.

Kalau korang selalu ambil gambar dan video, atau banyak menyimpan dokumen penting dalam telefon, aku lebih sarankan supaya buat backup dengan lebih kerap.

Cuma kena ingat, backup ke laptop bukan bermaksud semua data sudah tersimpan dengan selamat selama-lamanya. Laptop pun boleh rosak. Jadi, pastikan ruang simpanan mencukupi dan pertimbangkan satu lagi salinan untuk data yang betul-betul penting.

Baca juga - Tak Sampai Setahun Pakai iPhone 16 Plus, Dah Keluar iPhone 18! Mai God...!

Apa Yang Diperlukan Untuk Backup iPhone?

Tak banyak pun barang yang diperlukan. Untuk kaedah yang aku gunakan, korang perlukan:

  • iPhone yang nak dibuat backup.

  • Laptop atau PC Windows.

  • Kabel USB yang sesuai untuk menyambungkan iPhone ke komputer.

  • Aplikasi Apple Devices atau iTunes, bergantung pada aplikasi yang tersedia pada komputer.

  • Ruang storan yang mencukupi dalam laptop.

Kalau menggunakan Windows versi baharu, korang boleh menggunakan aplikasi Apple Devices. Kalau aplikasi itu belum ada, boleh dapatkannya melalui Microsoft Store. iTunes juga boleh digunakan jika sesuai dengan setup komputer korang.

Notifikasi iPhone Not Backed Up yang mengingatkan pengguna supaya membuat backup iPhone.

Cara Backup iPhone ke Laptop Windows

Ini langkah asas untuk membuat backup penuh iPhone ke komputer menggunakan aplikasi Apple Devices.

1. Sambungkan iPhone ke laptop

Gunakan kabel USB untuk sambungkan iPhone ke laptop Windows.

Kalau keluar permintaan untuk membenarkan sambungan atau mesej Trust This Computer pada iPhone, ikut arahan pada skrin dan masukkan passcode jika diminta.

2. Buka aplikasi Apple Devices

Buka aplikasi Apple Devices pada laptop. Pilih iPhone yang telah disambungkan apabila peranti itu muncul dalam aplikasi.

Kalau korang menggunakan iTunes, pilih ikon peranti iPhone dalam aplikasi tersebut.

3. Pilih tetapan backup

Dalam Apple Devices, pergi ke bahagian General.

Pilih pilihan untuk membuat backup semua data iPhone ke komputer ini. Kalau menggunakan iTunes, pergi ke bahagian Summary dan cari pilihan backup ke komputer.

4. Pilih encrypted backup jika diperlukan

Korang boleh mengaktifkan pilihan Encrypt local backup untuk melindungi backup dengan kata laluan.

Pastikan kata laluan itu disimpan di tempat yang selamat. Kalau terlupa kata laluan backup yang dienkripsi, korang mungkin tak dapat menggunakan backup tersebut untuk proses pemulihan.

5. Klik Back Up Now

Bila semua tetapan dah selesai, tekan Back Up Now dan tunggu sehingga proses selesai.

Tempoh masa yang diperlukan bergantung pada jumlah data dalam iPhone dan kelajuan sambungan. Jangan cabut kabel ketika proses backup sedang berjalan.

Selepas selesai, semak tarikh dan masa backup terakhir dalam aplikasi untuk memastikan proses tersebut berjaya.

Panduan rasmi Apple boleh dirujuk di sini:

https://support.apple.com/en-us/108967

Berapa Kerap Perlu Backup iPhone?

Untuk diri aku sendiri, aku bercadang nak buat backup setiap bulan atau sekurang-kurangnya setiap enam bulan sekali.

Kalau korang jenis yang selalu ambil gambar anak-anak, merakam video keluarga atau menggunakan telefon untuk urusan kerja, jangan tunggu sampai telefon menunjukkan masalah baru nak buat backup.

Lagi kerap data penting berubah, lagi munasabah untuk buat backup dengan lebih kerap.

Aku juga akan pastikan laptop mempunyai ruang storan yang cukup dan backup terbaru boleh dikenal pasti. Kalau boleh, simpan satu lagi salinan untuk gambar atau dokumen yang paling penting.

Bagi aku, manual backup iPhone ke laptop Windows ialah pilihan yang praktikal kalau kita tak mahu menambah komitmen langganan iCloud berbayar.

Tak susah sangat pun. Cuma kena ada kabel, komputer, sedikit masa dan disiplin untuk buat backup secara berkala.

Notification iPhone Not Backed Up yang selalu muncul tu sebenarnya satu peringatan supaya kita tak mengambil mudah soal keselamatan data.

Jadi, kalau korang pun selalu dapat notification yang sama, bolehlah cuba cara ni.

Jangan tunggu iPhone rosak atau hilang baru nak fikir tentang backup. Masa tu mungkin dah terlambat!

Korang pula macam mana? Backup iPhone guna iCloud, laptop atau ada cara lain? Cuba kongsi di ruangan komen. Mana tahu ada cara lain yang lebih mudah untuk kita sama-sama belajar.

iPhone, Apple, Tutorial iPhone, Windows, Teknologi, Tips Gadget

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Papaglamz © . Designed by MaisarahSidi.com