Aku berasal dari Johor, tetapi dah bertahun-tahun menetap di Kuantan, Pahang. Kalau tak silap, dah lebih 14 tahun aku tinggal di bandar ni.
Sepanjang tempoh tu, banyak juga pengalaman yang aku lalui di Kuantan. Dari zaman mula-mula datang bekerja, menyesuaikan diri dengan kehidupan di tempat orang, sampailah sekarang dah ada keluarga dan menjadikan Kuantan sebagai tempat tinggal.
![]() |
| Masjid negeri dan menara |
Bila orang tanya apa yang menarik tentang Kuantan, sebenarnya ada banyak perkara yang aku boleh ceritakan.
Bagi aku, Kuantan ada satu keistimewaan yang mungkin orang luar tak begitu nampak. Bandar ni ada suasana yang tersendiri. Tak terlalu sibuk macam bandar besar, tetapi dalam masa yang sama taklah terlalu sunyi atau ketinggalan.
Kuantan ni bagi aku sebuah bandar yang sederhana. Tak terlalu urban, tak terlalu kampung. Just nice!
Baca juga - Makan Steamboat Buffet Dinner in the Sky di Menara Kuantan 188 - Priceless Moment
Bandar yang Tenang dan Tak Terlalu Sesak
Antara perkara yang aku paling suka tentang Kuantan ialah suasananya yang agak tenang.
Kalau nak dibandingkan dengan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru, Kuantan masih mempunyai suasana kehidupan yang lebih santai. Tak semua tempat sesak dengan kenderaan dan kita masih boleh menikmati perjalanan harian tanpa perlu berhadapan dengan kesibukan bandar metropolitan setiap masa.
Memanglah ada waktu-waktu tertentu jalan raya boleh sesak, terutamanya waktu orang pergi dan balik kerja atau musim cuti sekolah. Tapi secara keseluruhannya, bagi aku Kuantan masih sebuah bandar yang selesa untuk didiami.
Bagi orang yang dah biasa dengan kehidupan bandar besar, mungkin suasana macam ni sesuatu yang sangat dihargai.
Kita masih boleh bekerja, menjalankan urusan harian, keluar makan bersama keluarga dan menikmati hujung minggu tanpa perlu sentiasa berada dalam suasana yang terlalu sibuk.
Baca juga - Pengalaman Makan Shell Out di Touch Craving Shell Out (TCSO), Jalan Stadium Kuantan: Rasa dan Kenangan Bersama Keluarga
Banyak Tempat Menarik, Terutamanya Pantai
Satu lagi perkara yang aku suka tentang Kuantan ialah lokasinya yang mempunyai banyak kawasan pantai dan tempat untuk berehat.
Kalau sebut Kuantan, mesti ramai yang teringat Teluk Cempedak. Pantai ni memang antara tempat yang cukup sinonim dengan Kuantan. Nak berjalan-jalan, menikmati pemandangan laut atau sekadar bawa keluarga keluar pada hujung minggu, memang sesuai.
Selain itu, ada juga Pantai Balok, Pantai Sepat dan beberapa lagi kawasan pantai yang boleh dikunjungi.
Kadang-kadang kita tak perlu pun merancang percutian yang jauh. Cukup sekadar keluar menikmati angin laut, makan bersama keluarga dan meluangkan masa di tepi pantai.
Bagi aku, kelebihan tinggal di Kuantan ialah tempat-tempat macam ni masih boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan kita.
Tak perlu tunggu cuti panjang untuk menikmati suasana percutian.
![]() |
| Air terjun sungai pandan |
Kemudahan Pendidikan Pun Banyak
Satu perkara yang mungkin tak semua orang fikirkan tentang Kuantan ialah kemudahan pendidikannya.
Di sini terdapat banyak sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi. Antara institusi yang terkenal termasuk Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.
Selain itu, terdapat juga pelbagai institusi pendidikan dan latihan lain yang menjadikan Kuantan antara lokasi penting untuk pendidikan di Pahang.
Bagi aku, kewujudan institusi-institusi ini memberikan nilai tambah kepada bandar Kuantan.
Bukan sahaja untuk penduduk tempatan, tetapi juga untuk pelajar dari negeri lain yang datang menyambung pengajian di sini.
Bila ada ramai pelajar, secara tak langsung ia turut menghidupkan suasana bandar dan menyumbang kepada aktiviti ekonomi setempat.
![]() |
| Pantai batu penyu |
Peluang Pekerjaan dan Industri Pun Ada
Mungkin ada yang beranggapan Kuantan ni hanya sebuah bandar yang sesuai untuk kehidupan santai atau sektor pelancongan.
Sebenarnya, Kuantan juga mempunyai aktiviti perindustrian yang penting.
Sebagai seseorang yang bekerja dalam industri kimia, aku sendiri dapat melihat bahawa kawasan ini mempunyai peranan dalam sektor industri, khususnya industri petrokimia dan pembuatan.
Kawasan perindustrian Gebeng, contohnya, menjadi antara kawasan penting bagi aktiviti industri di sekitar Kuantan.
Ini menunjukkan bahawa Kuantan bukan sekadar sebuah bandar untuk didiami, tetapi turut mempunyai aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Bagi mereka yang bekerja dalam bidang industri, kejuruteraan, teknikal dan pembuatan, kewujudan kawasan perindustrian ini tentunya memberikan pilihan kerjaya yang menarik.
Tempat Hiking Menarik di Kuantan untuk Semua Peringkat
Kuantan Sedang Membangun, ECRL Pun Bakal Membawa Perubahan
Kalau kita perhatikan perkembangan Kuantan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memang nampak bandar ini semakin membangun.
Pembangunan kawasan perumahan semakin rancak. Ada kawasan yang dahulunya mungkin belum begitu pesat, sekarang mula dipenuhi projek perumahan dan pembangunan baharu.
Selain itu, projek East Coast Rail Link (ECRL) juga merupakan antara pembangunan infrastruktur besar yang sedang dilaksanakan dan dijangka membawa perubahan kepada hubungan pengangkutan di Pantai Timur.
Bagi aku, projek seperti ini menarik untuk diperhatikan kerana ia mungkin membuka lebih banyak peluang dari sudut ekonomi, perniagaan, pekerjaan dan pembangunan kawasan sekitar.
Cuma, persoalan yang selalu bermain dalam fikiran aku ialah, bagaimana agaknya rupa Kuantan dalam tempoh 10 tahun akan datang?
Adakah Kuantan akan berkembang menjadi sebuah bandar yang jauh lebih moden dan pesat? Adakah lebih banyak peluang pekerjaan dan industri akan muncul? Atau adakah pembangunan ini akan mengubah suasana santai yang selama ini menjadi antara tarikan Kuantan?
Aku sendiri tak tahu.
Sebagai orang yang dah lama menetap di sini, aku tentunya berharap pembangunan yang berlaku nanti dapat membawa lebih banyak manfaat kepada penduduk. Dalam masa yang sama, biarlah keistimewaan Kuantan sebagai sebuah bandar yang tenang dan selesa untuk didiami terus terpelihara.
Baca juga - #SempatRaya2026… Hidup Solo di Kuantan & Nasi Gepuk Jadi Penyelamat
Kuantan, Bandar yang Sederhana Tetapi Ada Tarikannya
Selepas lebih 12 tahun menetap di Kuantan, aku boleh katakan bahawa bandar ini mempunyai keistimewaan tersendiri.
Mungkin Kuantan bukanlah bandar yang paling moden atau paling sibuk di Malaysia. Tetapi bagi aku, itulah antara perkara yang membuatkan aku selesa tinggal di sini.
Ada pantai untuk dikunjungi, kemudahan pendidikan, kawasan industri, tempat makan dan pelbagai kemudahan untuk kehidupan seharian.
Yang paling penting, Kuantan masih mempunyai suasana kehidupan yang agak santai.
Aku tak tahu sama ada aku akan terus menetap di sini untuk 10 atau 20 tahun lagi. Tapi buat masa sekarang, Kuantan sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup aku.
Dari seorang anak Johor yang datang ke negeri Pahang untuk bekerja, sehinggalah membina kehidupan dan keluarga di sini.
Kadang-kadang, kita tak perlukan bandar yang terlalu hebat untuk menikmati kehidupan. Cukuplah sebuah tempat yang memberikan kita rasa selesa untuk bekerja, membina keluarga dan menjalani kehidupan seharian.
Dan bagi aku, itulah Kuantan.
Korang pula macam mana? Ada tak yang pernah tinggal atau datang bercuti ke Kuantan? Apa perkara yang korang paling suka tentang bandar ni?
Jom kongsi di ruangan komen!
Label: Kuantan, Pahang, Pengalaman Hidup, Tempat Menarik di Kuantan, ECRL, Kehidupan di Malaysia, Papaglamz







Tiada ulasan:
Catat Ulasan