31.7.15

Mertua Versus Menantu

Tips keharmonian rumahtangga


Assalamualaikum

Bagi mereka yang sudah berumah tangga pastinya mempunyai keluarga mertua bukan. Pernah tak rasa pening nak amek hati mertua? Ni PapaG kongsikan beberapa tips untuk anda semua tentang Mertua dan juga Menantu. Moga bermanfaat.

TIPS BUAT MERTUA 


1. Kita harus jadikan menantu kita sebagai SAHABAT KARIB (akrab), khususnya menantu lelaki. Dengan hubungan akrab dan persahabatan itu akan menerbitkan kasih sayang. Dengan rasa kasih itu mereka akan mengatur cucu dan anak perempuan kita (isteri beliau) untuk meneruskan hubungan baik dengan kita dengan rela tanpa dipaksa-paksa.

2. Jika kita ada sebarang saranan untuk menantu lelaki kita, lakukanlah dengan berhemah, tanpa sebarang unsur menekan atau memaksa mereka untuk menerima. Biar mereka terima kerana suka dengan kebenaran dari nasihat kita yang disampaikan dengan penuh kasih sayang itu. Bukan kerana kita menggunakan veto sebagai orang tua secara paksa. Terkadang usia tua tidak menjamin kita BETUL sentiasa.

3. Hormati menantu lelaki kita sebagai sahabat dan orang yang sedang 'berkuasa' terhadap anak kita. Mereka juga ada tanggungjawab dan harga diri. Sayangi mereka sebagai anak. Dengan kasih sayang sahaja semuanya akan mampu saling redha meredhai dan hidup sejahtera.

4. Harus diingat, dahulu kita ada kuasa sebagai wali terhadap anak perempuan kita. Kini hak dan kuasa itu sudah kita serahkan kepada menantu lelaki kita. Untuk menikmati apa yang kita miliki sebelum anak nisak kita berkahwin, maka kita perlu mengharapkan BUDI BICARA dan jasa baik menantu lelaki kita. Justeru itu, jangan sekali-kali gunakan pendekatan MEMAKSA jika kita sudah tiada kuasa.

5. ADIL terhadap menantu itu sangat penting. PANTANG sama sekali kita bersikap pilih bulu dan membeza-bezakan menantu kita biar apapun alasannya. Cuba cari jalan untuk membantu yang lemah baik terhadap menantu lelaki mahupun yang perempuan.

6. MENANTU PEREMPUAN ada ‘inferiority complex’ yang tersendiri. Hati-hatilah terhadap perasaan mereka walaupun kita ada ‘kuasa’ terhadap suami mereka. Beri mereka sedikit ruang untuk bebas membawa diri berperanan sebagai anak dalam keluarga suami mereka.

7. JANGAN SEKALI-KALI campuri konflik dalaman rumahtangga anak kita. Jika terpaksa sekalipun, banyakkan menasihati anak kita, baik laki-laki mahupun yang perempuan agar bertolak ansur dan berdamai. Jangan sesekali menanam kebencian anak kita terhadap pasangan mereka. Memburuk-burukkan menantu kita agar cucu kita membenci ibubapa mereka adalah khilaf yang FATAL & PANTANG SAMA SEKALI. Itu akan akhirnya membuatkan kita DIBENCI menantu dan cucu kita.

TIPS UNTUK MENANTU


1. SUAMI harus berusaha mengambil hati mertua. Sayangi dan hormati mereka sebagai orang tua kita sendiri. Pelajari apa yang mereka suka dan apa yang mereka benci.

2. SUAMI harus bukan sahaja izinkan, malah sebaiknya arahkan isteri agar menghubungi orang tua mereka sekerap mungkin dan lapurkan apa sahaja berita dari orang tua isteri kepada kita. RPWP sarankan agar seboleh-bolehnya setiap warga menghubungi orang tua 5 kali sehari. Biar ibubapa terasa seperti kita duduk serumah walaupun hakikatnya kita tinggal berjauhan. Paling tidak sekali sehari atau lebih kerap dari sebelum isteri kita berkahwin dengan kita. Dengan itu, hubungan isteri dengan orang tuanya jadi akrab dan diredhai. Bila isteri dan keluarganya gembira, masing-masing akan berterima kasih dan kita juga yang dapat tempiasnya.

3. SUAMI tidak harus menolak mentah-mentah sebarang nasihat atau buah fikiran dari mertua. Hargai atau terima buah fikiran itu sebagai sahabat, atas dasar kasih sayang dan bernasnya cadangan yang diberikan oleh orang yang lebih berpengalaman itu. Lebih-lebih lagi untuk ISTERI terhadap mertua. Kecuali jika saranan itu tersasar dari landasan agama.

4. SUAMI harus tahu batas sempadan dalam menerima cadangan dan buah fikiran mertua. Jangan sampai merasa terpaksa untuk menerima apa-apa saranan dan buah fikiran dari mertua sehingga kita hilang keyakinan diri dan ketegasan pendirian sebagai murobbi keluarga, hanya kerana ingin memenuhi kehendak mertua. Apatahlagi jika mertua kita tersasar dari landasan syariat.

5. SUAMI sendiri harus memainkan peranan 'menghulurkan' apa sahaja pemberian terhadap keluarga mertua, biarpun sumbernya dari isteri kita. Sebaliknya ISTERI pula harus ambil peranan untuk 'menghulurkan' apa sahaja pemberian terhadap keluarga suami, biarpun sumber pemberian itu dari suami. Ini mampu menolak fitnah dan menzahirkan keredhaanserta keihlasan terhadap mertua dan keluarga pasangan kita.

6. SUAMI / ISTERI jangan suka mengadu apa sahaja masalah dalaman rumah tangga sendiri kepada ibu bapa sendiri. Ini boleh menambahkan kebencian mertua terhadap pasangan kita. Ingatlah bahawa lebih mudah menyelesaikan masalah dengan pasangan sendiri berbanding masalah yang disebabkan oleh kebencian mertua dan campur tangan ipar duai kita.

7. SUAMI / ISTERI harus tampil dan membela pasangan masing-masing apabila ada unsur fitnah, cercaan, atau umpatan oleh orang tua atau ahli keluarga sendiri terhadap pasangan kita. Jangan sekali-kali meng’iya’kan dan menokok tambah pula. Lama kelamaan pendekatan ini mampu 'mengajar' keluarga kita agar tidak lagi campurtangan sewenang-wenangnya.

8. ISTERI harus ingat bahawa keredhaan suami adalah laluan syurga baginya. Apapun situasi atau konflik yang terjadi, keputusan dan pendirian suami harus diutamakan selagi ia tidak menyalahi syara’. Syurga suami kita masih di bawah tapak kaki ibunya. Oleh itu jika suami sarankan agar balik raya di rumah ibunya dahulu juga ada rasional syariat di sebaliknya dan wajar kita patuhinya dengan berlapang dada. Dengan itu, suami akan redha terhadap kita dan anda akan lihat dia akan santuni keluarga anda dengan hati yang lapang juga.

9. SUAMI pula harus adil terhadap isteri dan mertua. Walaupun kita ada hak terhadap isteri kita, cubalah ambil hati mertua sekali sekala. Jika boleh jangan sampai isteri kita yang meminta. Cubalah minta izin dari ibu-bapa kita untuk sekali-sekala beraya dahulu di rumah keluarga isteri kita pula. Terutama jika ada keperluan khusus seperti mertua kita sudah uzur dan sebagainya. Dengan budi bahasa dan santunan yang wajar, pasti ibu kita sendiri pun akan merelakannya kerana mereka sayangkan kita dan mahu kita disayangi oleh mertua kita juga.

KESIMPULAN


Apapun yang kita lakukan atau putuskan, cuba gunakan pendekatan izin dan salam sebagai asas basmalahnya. Basmalah itu ialah isme/fahaman Allah yang mengandungi segala prinsip yang telah Allah lakarkan untuk pedoman kita dalam mengatur hidup. Jika betul kita meletakkan asas Basmalah dalam niat, maka hasilnya ialah rahmat dan rahim, berupa kasih sayang yang melimpah ruah.

Sekali lagi ditegaskan di sini bahawa SUAMI harus tegas dan berprinsip. Mertua kita harus disantuni, disayangi dan dihormati sebagai orang tua. Jika ada yang tidak kena sekalipun, jangan kita berkata ‘AH’ atau ajak mereka bergaduh. Jika sekalipun mereka tersasar dan keadaan tidak terkawal, Allah sarankan agar kita tinggalkan sahaja mereka ‘dengan baik’. (QS:73/10)

Ibubapa kepada anak perempuan harus sentiasa zikirkan bahawa anak kita sudah bukan di bawah ‘kuasa’ kita lagi apabila mereka sudah bersuami. Berbuat baik dan ambillah hati menantu lelaki kita. Jadikan mereka sebagai sahabat karib agar mereka semakin menyayangi kita. Dengan rasa kasih itu, insyaAllah suami kepada anak kita itu akan merasa bahagia dan redha untuk memenuhi apa sahaja kesukaan kita tanpa perlu dipaksa-paksa.

ISTERI harus berusaha menyantuni dan mengambil hati mertua untuk meraih redha mereka terhadap kita dan suami kita. Cuba elakkan diri dari mencampuri apa sahaja masalah yang timbul dalam keluarga suami. Jika ada yang berkaitan diri kita pun harus kita rujuk segalanya dengan suami kita untuk membuat keputusan apa sahaja. 

ISTERI juga harus redha terhadap sebarang keputusan suami agar kita sentiasa diredhai pula olehnya. Redha meredhai antara kita dan suami kita itulah yang mewujudkan ketenangan jiwa dan suasana syurga dalam rumahtangga. (QS:89/27-30).

Sedekah yang paling bernilai dan kekal abadi ialah usaha kita untuk saling membahagiakan insan-insan yang berkerabat dengan kita. Oleh itu berusahalah untuk saling memahami, menyantuni, hormat menghormati dan redha meredhai. 

Ada banyak cara yang boleh kita lakukan untuk saling mengambil hati. Yang pemalas dan berat tulang rajinkanlah diri. Yang ego tunduklah. Yang kikir jadilah pemurah. Yang sombong bermesralah. Banyakkan musyawarah dan jauhi debat. 

Sumber : Warga Prihatin

-sekian-

6 ulasan:

  1. kadang-kadang masalah masing-masing berbeza sebab sikap manusia ni ada macam-macam.Buat aje macam saranan papaglamz tu...insyaallah...sampai masa Allah buka pintu hatinya menerima kita seadanya.

    BalasPadam
  2. Ok noted untuk akan datang. Hehehe :D

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah sgt selesa bila bersama Mak Mertua yg tak byk kerenah..sgt memahami ..yg penting tak kedekut ilimu samada dlm hal nasihat rumahtangga & masak memasak...sama juga dgn en hubby selesa bila berada bersama keluarga saya...pd sya apa yg penting kena saling memahami dan tolak ansur...cuba faham perangai in law masing2....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul.. saling memahami akan takde masalah kan..

      Padam
  4. Itu la yg sebaik2nya kan papaG

    BalasPadam

Papaglamz.com © . Designed by MaisarahSidi.com