13.12.17

7 Cara Mengolah Produk IKEA Untuk Dapur Yang Lebih Teratur

Suka-tapi-benci adalah satu perasaan yang sering dirasai oleh peminat perabot keluaran IKEA.

Seringkali, perasaan itu terhasil disebabkan cabaran yang harus dilalui untuk memasang sendiri perabot yang dibungkus leper oleh pihak IKEA. Walaupun terpaksa meluangkan masa dan tenaga untuk memahami cara-cara pemasangan, ramai pemilik rumah tetap memilih produk dengan nama aneh keluaran Sweden itu untuk kediaman mereka kerana tertarik dengan reka bentuk produk IKEA yang pelbagai, moden dan bergaya, serta harga yang berpatutan.

Tidak dinafikan juga, bagi pemilik rumah yang inginkan hiasan dalaman rumah yang bertema Scandinavian, produk keluaran IKEA paling menepati ciri-ciri praktikal, ringkas dan minamalis yang dikehendaki.

Jika anda juga adalah peminat setia IKEA seperti saya, dan yang kini sedang mengalami masalah ruang simpanan yang terhad di rumah, saya teruja untuk berkongsi beberapa langkah untuk hack barangan IKEA agar ia menjadi lebih praktikal dan pelbagai guna untuk kegunaan di ruang dapur rumah anda. 

1. Taman herba mini di tepi tingkap

Jika anda inginkan taman herba tetapi tidak mempunyai halaman yang luas untuk bercucuk tanam, gunakan tepi tingkap anda untuk menanam pokok-pokok herba untuk kegunaan dalam masakan anda. Anda hanya perlukan rod BOTAREN, bekas kutleri FINTORP, dan beberapa cangkuk GRUNDTAL untuk projek taman herba mini ini. 

Sumber: jillm.com


2. Ruang simpanan mudah alih

Ruang dapur yang sempit serta ruang simpanan yang terhad dan tidak teratur semestinya akan mengganggu aturan kerja si tukang masak. Adakalanya, anda terpaksa bergerak lebih banyak semata-mata untuk mengambil bahan masakan atau peralatan memasak yang disimpan di tempat lain. Atasi masalah ini dengan ruang simpanan mudah alih beroda keluaran IKEA yang bernama RASKOG



3. Ruang menggantung di dinding

Kabinet dan ruang atas kaunter terlalu penuh? Ikut langkah mudah yang dikongsi oleh Ich Designer ini. Dasar katil LUROY telah diolah dan dijadikan lapik untuk menggantung barang di dinding. Tambah beberapa cangkuk BLECKA untuk menampung barang yang lebih berat dan beberapa cangkuk GRUNDTAL untuk menggantung barang-barang lain. 


4. Kabinet dan para di dinding

Bagi rumah yang mempunyai ruang dapur yang kompak, anda haruslah menjadi kreatif dan efisien dalam memaksimumkan penggunaan ruang yang ada di sekitar dapur. Dengan hanya menggunakan dua unit kabinet IVAR dan para EKBY LAIVA, anda boleh mengubah dapur anda menjadi lebih teratur, menurut langkah yang dikongsi oleh The Fresh Exchange.



5. Tambah ruang simpanan dengan rel

Olah kegunaan rel ampaian tuala VOXNAN dengan menjadikannya tempat untuk menggantung penutup periuk. Pasangkan rel itu di belakang pintu kabinet agar anda tidak perlu lagi memunggah seluruh kabinet semata-mata untuk mencari satu penutup periuk.


Jika anda mempunyai terlalu banyak cawan atau mug di dalam almari, gunakan rel GRUNDTAL dan cangkuk GRUNDTAL untuk menggantung cawan-cawan tadi di bahagian bawah kabinet.


Selain itu, anda juga boleh menggantung peralatan memasak di situ.


6. Kaunter dapur beroda

Jika memiliki lebih banyak ruang kaunter adalah idaman anda, bayangkan betapa mudahnya kerja memasak jika anda mempunyai kaunter dapur beroda. Club Crafter telah berkongsi langkah mudah untuk mengolah rak KALLAX menjadi kaunter dapur mudah alih beroda. Ia bukan saja boleh digunakan sebagai ruang kerja tambahan di dapur, malah boleh dijadikan meja makan kecil serta meja untuk komputer riba juga.


7. Gunakan fail majalah untuk susun atur yang lebih kemas

IKEA hack yang terakhir ini adalah yang paling mudah dan wajib untuk anda lakukan. Kebiasannya, fail majalah KNUFF akan diletakkan di meja belajar untuk menyimpan dokumen atau di ruang tamu untuk menyimpan majalah. Tetapi, tahukah anda yang fail majalah itu juga boleh digunakan sebagai tempat untuk menyimpan gulungan kerajang aluminium dan gulungan plastik pembalut makanan?


Saya berharap perkongsian IKEA hacks di atas akan dapat membantu anda menambah ruang simpanan di sekitar dapur anda. Walau bagaimanapun, untuk penyelesaian jangka masa panjang, anda tetap akan memerlukan kabinet yang lebih kukuh dan tahan lasak di dapur anda. 

Kini anda boleh dapatkan khidmat nasihat daripada cabinet contractor di Recommend.my secara online. Dengan lebih 500 kontraktor berpengalaman yang berdaftar di Recommend.my, anda pasti akan berjaya mengupah kontraktor yang sesuai dengan citarasa dan bajet anda.

With Love
Papaglamz

-sekian-

4 ulasan:

  1. Semua lawa tau kalau barang2 IKEA ni..Kalau kreatif, mmg menjadi la hasil kreativiti untuk hias ikut ruang dapur masing-masing...

    BalasPadam
  2. Huu menang kemas mantap terbaik..susuinatur..raja dapur ni

    BalasPadam
  3. Barang2 Ikea memang cantik.. Lagi2 kalau pandai susun dan sesuaikan dengan perhiasan yang lain..

    BalasPadam

Papaglamz © . Designed by MaisarahSidi.com