24.11.14

Tinta Papaglamz |#| Anak Luar Nikah. Di manakah Imej Kita? *Repost*


Assalamualaikum

Tak di sangka artikel yang Papaglamz tulis untuk join contest yang di organized oleh Buasir Otak terpilih sebagai pemenang. TERKESIMA...!!!! Papaglamz repost semula artikel dalam blog Buasir Otak untuk tatapan peminat Papaglamz yang sangat-sangat Papaglamz sayangi. Hehehehe.

************************************************


Masalah anak luar nikah di Malaysia seperti tiada penghujungnya. Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan berita seorang remaja wanita mencampakkan anak yang baru dilahirkan dari tingkat 3 rumahnya kerana tidak mahu menanggung malu disebabkan kelahiran bayi itu. Ditambah lagi dengan berita terbaru di Shah Alam seorang bayi lelaki telah ditinggalkan di hadapan surau taman Platinum, menunjukkan bahawa kancah kelahiran anak luar nikah di negara kita kian meruncing. Statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2009 menunjukkan bilangan anak luar nikah yang didaftarkan adalah sebanyak 17,303 orang. Manakala pada tahun 2011, satu peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 18,652 orang telah didaftarkan. Memang benarlah apa yang di war-war kan pada masa kini SATU HARI SATU BAYI LUAR NIKAH dilahirkan. Mengapakah fenomena sebegini rupa tetap berlaku? Sedangkan majoriti penduduk di negara Malaysia adalah penganut yang beragama islam. Agama islam sama sekali melarang penganutnya untuk menghampiri zina seperti yang dirakamkan dalam firman Allah dalam surah al-Israa' ayat 32 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk,”.

Papaglamz begitu tertarik untuk mengupas isu ini berlandaskan mata Tinta Papaglamz sendiri. Sememangnya kita tahu negara kita Malaysia agama rasminya ialah Islam. Namun, islam yang bagaimanakah penganut-penganutnya anuti? Adakah islam yang jati? Ataupun Islam yang hanya pada nama? Agama Islam menuntut para penganutnya menjalani kehidupan seharian dengan tatasusila ditambah dengan undang-undang yang tertentu. Penghayatan Islam dalam diri seseorang yang kian rapuh merupakan faktor utama kebanjiran anak luar nikah di negara kita. Cara hidup yang jauh terpesong dengan landasan-landasan agama Islam sudah sebati dalam jiwa mereka. Kita lihat sahaja berapa ramai anak remaja yang tidak lagi menutup aurat serta bergaul bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim mereka. Ramai bukan? Mereka seperti sudah terbiasa dengan perkara sebegitu. Malah jika ada yang menutup aurat dan menjaga pergaulan akan di cop sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Pergaulan bebas begini yang menyumbang kepada kejadian zina lantas menyumbang kepada kelahiran anak luar nikah di negara kita.

Kepincangan institusi rumah tangga juga merupakan faktor penyebab kelahiran anak luar nikah. Ibu bapa yang sibuk bekerja sehingga lupa untuk menunjukkan keprihatinan mereka kepada anak-anak akan melahirkan generasi yang kekurangan kasih sayang. Ibu bapa yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik serta membesarkan anak-anak mereka kepada pengasuh merupakan satu kesilapan besar dalam pembentukan kehidupan anak-anak mereka. Bukankah anak-anak itu umpama kain putih? Ibu bapa yang sepatutnya mencorak dan mewarnakan kain putih itu. Jadi, lukislah dan warnailah kehidupan anak-anak kita dengan corak-corak serta warna-warni jati diri Islam yang penuh dengan tatasusila dan keindahan sejak dari kecil lagi. Seperti kata pepatah melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Andainya penerapan nilai-nilai akhlak mulia bermula sejak dari kecil lagi, nescaya akan lahirlah generasi yang berakhlak mulia skali gus fenomena anak luar nikah pastinya dapat diatasi dengan sebaiknya. Insyallah.


Kegairahan dalam mencapai kemajuan teknologi tinggi yang moden juga merupakan faktor penting masalah ini. Dewasa kini, melayari internet merupakan salah satu keperluan bagi setiap individu. Ditambah pula dengan kemunculan gadjet-gadjet yang berteknologi tinggi begitu mudah didapati di pasaran menambahkan lagi kemudahan dan kebebasan remaja-remaja kita mengekses laman sosial. Cuba bayangkan sekiranya pelajar-pelajar yang masih mentah bebas melayari laman-laman sesawang yang berunsurkan porno, tidak dinafikan mereka akan terikut-ikut lantas melakukannya bersama rakan sekelas mereka. Hal ini terbukti dengan kes pelajar berumur 12 tahun mengandung telah dilaporkan baru-baru ini. Laman-laman sosial yang muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga faktor yang menyebabkan perkara seperti ini berlaku. Dengan adanya istilah Cinta Maya, ramai remaja-remaja yang kesepian khususnya wanita yang tertunduk dengan janji-janji kosong lelaki buaya yang dikenali di laman sosial. Sekiranya kewujudan laman sesawang yang boleh menjerumuskan remaja-remaja kita ke dalam kancah zina dibiarkan bebas begitu sahaja, pastinya permasalahan kelahiran bayi luar nikah tidak akan ada penghujungnya.

Nah...!! Begitulah betapa peri pentingnya untuk kita mengetahui apakah yang menyebabkan masalah kelahiran bayi luar nikah di negara kita ini kian meruncing. Ternyata didikan awal oleh ibu bapa menjadi punca yang paling utama. Sekiranya ibu bapa dapat mendidik anak-anak mereka dengan akhlak-akhlak mulia sejajar dengan ajaran agama Islam, nescaya walau sehebat mana pun ancaman dari anasir-anasir luar terhadap anak-anak pasti akan dapat dihalangi. Perlu diingat, Allah sentiasa bersama-sama orang yang mengingatinya. Maka ajarlah anak-anak kita ilmu mengenal tuhan nescaya Allah akan membantu kita untuk menjaga mereka. Dengan penyelesian masalah ini sudah pasti imej negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam pasti akan terjaga.

-sekian-

4 ulasan:

  1. Lahhh papaglamz ke yg tulis... Akak ada baca hr tu... Syabas.. Penulisan yg baik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yup.. Perlu byk lgi kne belajar.. Thankz..

      Padam
    2. bukan mudah untuk menulis

      Padam
  2. pendapat dan kupasan yang bernas..

    BalasPadam

Papaglamz © . Designed by MaisarahSidi.com